Rumah pekerja terbakar, 26 penghuni selamat

Anggota Bomba menyelamatkan kanak-kanak dalam kejadian tersebut.

MIRI, 6 Julai: Sebuah rumah pekerja 11 pintu di Jalan Lutong, di sini dilaporkan musnah dalam satu kebakaran semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata rumah tersebut dihuni oleh 26 orang terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita serta sembilan kanak-kanak.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.21 petang.

“Kebakaran melibatkan satu blok rumah pekerja yang mempunyai 11 pintu jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus.

“Setakat ini, semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelihatan anggota Bomba memastikan kebakaran telah padam
sepenuhnya.

Menurutnya juga, terdapat sebuah kenderaan turut terbakar dan dua mangsa mengalami cedera ringan.

“Mangsa diserahkan ke Unit EMRS Bomba untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Hadir memadam kebakaran tersebut ialah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan Miri Sentral.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily