Oleh Dean Adam
KOTA SAMARAHAN, Nov 25: Misteri kehilangan seorang lelaki yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Entingan di sini terungkai apabila dia ditemui selamat hari ini.
Mangsa, Dublin Andrew Ajan, 55, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.14 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Jackson Anyie Ngau berkata, semasa ditemui, keadaan mangsa adalah lemah akibat keletihan.
Katanya, mangsa dijumpai kira-kira 700 meter dari pos kawalan bomba.
“Mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR tamat sepenuhnya pada pukul 1.29 petang,” katanya di sini hari ini.
Jackson menambah, operasi tersebut juga disertai pasukan polis, angkatan pertahanan awam dan penduduk kampung.
Sebelum ini, DayakDaily melaporkan mangsa yang dalam keadaan kemurungan selepas terlibat kes kemalangan telah dilaporkan hilang.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan pada pukul 8.19 pagi. — DayakDaily