Pasangan suami isteri melecur dalam kebakaran rumah panjang

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah rumah panjang.

Oleh Dean Adam

JULAU, Nov 25: Lebih 30 penghuni rumah panjang di Ulu Entabai di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang didiami mereka musnah terbakar, petang tadi.

Lebih malang, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasang suami isteri melecur di bahagian belakang badan semasa cuba keluar menyelamatkan diri mereka.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.04 petang.

Jelas beliau, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah panjang 15 pintu jenis tidak kekal.

“Kebakaran itu telah memusnahkan 100 peratus rumah panjang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Nicholas menambah, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja memadam bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.

Katanya, pasangan suami isteri yang cedera dan melecur itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily