Sebuah keluarga hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 25: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Taman Desa Wira di sini musnah terbakar, malam ini.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 8.26 malam itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.27 malam.

Katanya, seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan Bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah setingkat jenis separuh kekal berkeluasan.

“Pasukan bomba terus bertindak membuat pemadaman sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini malam ini.

Tiong menambah, penghuni rumah berkenaan tidak sempat menyelamatkan pelbagai barangan penting disebabkan api marak dengan cepat.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu ditamatkan pada pukul 9.59 malam.

“Punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily