MIS benarkan akad nikah dengan kehadiran maksima 8 orang

Foto Fail

KUCHING, 30 Jun: Majlis akad nikah dibenarkan dengan jumlah kehadiran maksima 8 orang, termasuk jurunikah dan saksi serta tertakluk peda kapasiti ruang.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan hari ini berkata, garis panduan ini adalah untuk pasangan yang telah mendapatkan kebenaran berkahwin.

Katanya, majlis dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Bahagian, Daerah dan premis MIS.


“Majlis adat seperti pertukaran barang hantaran, menyarung cincin atau seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

“Kenduri bagi meraikan akad nikah ini tidak dibenarkan,” kata MIS.

MIS turut menetapkan bahawa tempoh masa akad nikah tidak melebihi 20 minit termasuk bacaan lafaz taklik.

Bagi yang hadir, MIS berkata mereka mesti mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera dan menunjukan risiko dalam aplikasi tersebut kepada petugas pendaftaran masuk premis.

Hanya individu yang berstatus rendah sahaja dibenarkan hadir selain harus mematuhi prosedur operasi standard(SOP) sedia ada.

MIS berkata, garis panduan ini berkuatkuasa mulai 1 Julai 2021 dan boleh dipinda dari masa ke semasa. — DayakDaily