Lelaki ditangkap buat laporan palsu, terlibat kegiatan judi dalam talian di Kuching

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, Jun 30: Seorang lelaki terdesak sehingga terpaksa membuat laporan palsu selepas dikatakan mengguna wang majikannya untuk keperluan peribadi.

Bagaimanapun tindakan itu mengundang padah kepada dirinya apabila pasukan polis berjaya membongkar perkara tersebut menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu suspek ditahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.


“Suspek mendakwa dia diragut dua lelaki ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Batu Kawa pada 28 Jun iaitu sekitar jam 12.40 tengah hari.

“Dalam kejadian tersebut, suspek mendakwa dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah melarikan beg silangnya yang mengandungi wang tunai RM3,600.

“Hasil soal siasat, dia mengaku membuat laporan palsu kerana telah membelanjakan wang (RM3,600) milik majikannya untuk membeli keperluan harian,” kata Aidil dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian ditahan semalam dan hasil siasatan mendapati wang tersebut juga adalah hasil keuntungan dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Oleh yang demikian, suspek berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Bumbok itu juga ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan. — DayakDaily