Miro Simuh: Kerajaan negeri teruskan usaha bela nasib rakyat luar bandar

Miro (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Gawai kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Sharifah Halimah (empat dari kanan).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

BAU, Mei 19: Kemudahan infrastruktur seperti pengangkutan, bekalan air dan elektrik akan terus ditingkatkan di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serembu, Miro Simuh berkata usaha kerajaan negeri itu akan memastikan nasib penduduk di luar bandar terbela.


“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan yang terlibat akan meneruskan usaha membangunkan kawasan luar bandar.

“Usaha ini akan memastikan rakyat di kawasan luar bandar menikmakti infrastruktur seperti yang ada di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Gawai anjuran Pusat Khidmat Adun N.18 Serembu dan Kastam Negeri Sarawak hari ini.

Miro (duduk barisan depan, tujuh dari kanan) merakamkan kenangan bersama penerima sumbangan di Dewan Serbaguna Kpg Peninjau Lama.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Peninjau Lama, Bau itu menyaksikan 50 warga tua dari empat buah kampung berhampiran menerima sumbangan.

Menyentuh isu kehidupan rakyat di Kampung Peninjau, Miro berkata rata-rata penduduk yang menghuni pinggir bandar itu berkerja di sekitar Kuching.

“Perjalanan ke Kuching yang terletak 30km dari kampung mengambil masa 30 minit dan amatlah penting untuk kita memastikan kemudahan pengangkutan disediakan.

“Dari segi taraf hidup pula, masih banyak kekurangan terutamanya dari segi ekonomi,” tegas Miro.

Terdahulu, Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata program tanggungjawab sosial(CSR) itu menyasarkan 50 warga tua yang bakal meraikan perayaan Hari Gawai Dayak tidak lama lagi.

Selain warga tua kata Sharifah Halimah, sumbangan turut diberi kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin.

“Untuk makluman, Jabatan Kastam Negeri telah mengatur lima program CSR di bulan Ramadhan ini dan majlis hari ini adalah yang ketiga dianjurkan.

“Dua program terdahulu telah pun diadakan di kawasan N.4 Pantai Damai dan N.3 Tanjung Datu, seterusnya kita akan mengadakan di N.26 Gedong dan N.8 Satok,” katanya.

Kesemua 50 penerima sumbangan hari ini mewakili Kampung Kopit, Segak, Peninjau Lama dan Peninjau Baru. — DayakDaily