Miri dijangka dilanda jerebu akibat tiga pembakaran terbuka yang dikesan

Anggota bomba melakukan tinjauan pembakaran terbuka menggunakan helikopter.

MIRI, Sept 24: Beberapa kawasan di Miri dijangka dilanda jerebu yang agak tebal esok susulan terdapat tiga tompok atau titik panas yang dikesan masih aktif menghasilkan asap akibat pembakaran terbuka, hari ini.

Setakat pukul 4.30 petang tadi, tiga kawasan yang dikesan aktif menghasilkan asap ialah pertama di kawasan ladang di hujung landasan Airport Miri, kawasan Bukit Tukau hingga Sungai Rait.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, keluasan yang terjejas akibat kebakaran terbuka itu melebihi 100 ekar.

Katanya, kawasan kedua pula ialah kawasan tanah Pantai Bayu yang terletak berhampiran Eastwood Valley Golf & Country Club.

“Keluasan yang terjejas dianggarkan seluas 80 ekar dan pembakaran terbuka dipercayai bermula dari kawasan HT.

“Kawasan ketiga yang dikesan terbakar pula melibatkan hutan di Lot 3709 Kuala Baram,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kelihatan kawasan yang terjejas akibat pembakaran terbuka.

Law menambah, ketiga-tiga kawasan itu dikesan terjejas hasil tinjauan menggunakan helikopter Bomba dan laporan ronda pasukan Naim.

Katanya, pasukan bomba juga telah melakukan operasi ‘water bombing’ bagi mengawal pembakaran terbuka itu.

“Situasi terkini akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily