Meter elektrik meletup, rumah panjang nyaris terbakar

Anggota bomba mendapatkan maklumat daripada penduduk rumah panjang.

BETONG, 15 Julai: Tindakan pantas seorang lelaki memadam kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah rumah panjang di Ulu Layar, di sini daripada terbakar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.29 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di tempat kejadian, didapati kejadian hanyalah berlaku letupan kecil pada meter elektrik di dua buah rumah (pintu).

“Salah seorang penghuni rumah panjang bertindak memadamkan percikan api menggunakan Alat Pemadam Api (APA) jenis debu kering sehingga berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesan daripada kejadian tersebut menyebabkan beberapa buah rumah turut mengalami kerosakkan pada perkakas elektrik.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Rumah panjang 18 pintu itu didiami 120 orang penghuni.

“Setelah benar-benar dipastikan keadaan selamat, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai,” katanya. — DayakDaily