Lelaki ditangkap, disyaki terlibat judi dalam talian di Bau

PDRM logo

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


BAU, Julai 15: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek, 24, dari Taman Malihah Belatok, Kuching ditahan di sebuah kedai serbaneka di Siniawan Central, dekat sini sekitar jam 6.45 petang.

Katanya, semasa diperiksa didapati terdapat aplikasi dipercayai berkaitan judi dalam talian di telefon bimbit suspek.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat pesanan ringkas tambah nilai yang disyaki ID pengguna judi dalam talian.

“Suspek ditangkap dan telefon bimbit serta sejumlah wang telah dirampas daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun. — DayakDaily