Merkuri pecah, sesi pembelajaran di SK Lubok Antu terjejas

Anggota bomba sedang melakukan operasi pembersihan kesan merkuri.

Oleh Dean Adam

BETONG, Julai 5: Sesi pembelajaran dan pengajaran di SK Lubok Antu, dekat sini, terjejas susulan kejadian tumpahan merkuri di makmal sekolah berkenaan hari ini.

Kejadian cemas itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.


Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.31 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Betong dan lima anggota pasukan bomba bantuan Lubok Antu kemudian bergegas ke sekolah berkenaan untuk tindakan susulan.

Anggota bomba sedang melakukan operasi pembersihan kesan merkuri.

“Setibanya di situ pasukan bomba mendapati alat termometer suhu telah pecah di bilik makmal sekolah tersebut.

“Operasi membersihkan sisa merkuri terus dijalankan dengan menggunakan klorox dan pita pelekat sehingga sisa tersebut selesai dibersihkan,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap sama menambah, insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan. — DayakDaily