Mercun dan bunga api satu kontena dirampas di Bintulu

Mercun dan bunga api yang dirampas.
Advertisement

BINTULU, 10 Mei: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 430 karton pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai mencecah RM85,684 termasuk cukai pada 7 Mei baru-baru ini.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata kejayaan tersebut adalah hasil pemeriksaan ke atas satu kontena yang berisi mercun diimport dari China dan tiba di Stor Penguatkuasaan Bintulu.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati beberapa jenis mercun dan bunga api yang tidak diikrar dengan betul dan tidak tersenarai dalam lesen import yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Advertisement

“Sebanyak 430 karton dengan anggaran berat berjumlah 7.715 tan mercun dan bunga api dengan pelbagai jenama, telah disita yang melibatkan anggaran nilai RM51,930 dan anggaran jumlah duti dan cukai RM33,754.

“Mercun dan bunga api tidak diikrar dengan betul dan dicampur bersama-sama barang-barang yang diluluskan di dalam lesen import dengan tujuan untuk mengelirukan dan mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dipercayai bunga api dan mercun tersebut adalah untuk jualan kepada orang awam dan mempunyai permintaan yang tinggi terutama menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang tidak betul atau tidak benar.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh di denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu dengan niat mengimport barang larangan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement