Tuduhan Fisol pelindung utama sindiket perjudian dan kongsi gelap tidak benar

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 10 Mei: Tuduhan yang mengaitkan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Fisol Salleh sebagai pelindung utama kepada sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di negeri ini adalah tidak benar.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak ACP Lukas Aket, hasil siasatan polis mendapati bahawa tuduhan yang dilemparkan melalui aplikasi Facebook itu adalah berunsur fitnah.

“Hasil daripada siasatan polis ke atas beberapa isu tohmahan yang terdapat dalam posting Facebook tersebut mendapati ianya adalah tidak benar dan berunsur fitnah semata mata terhadap Fisol.

“Siasatan dibuat dengan mengenalpasti semua individu yang disebut dan yang terdapat di dalam gambar, disamping menyiasat beberapa lokasi yang dimaksudkan dalam posting.

“Siasatan mendapati ianya merupakan satu fitnah dan tohmahan terhadap beliau bertujuan menjatuhkan imej dan reputasi Fisol sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lukas, suspek dipercayai menggunakan nama samaran dan akaun
Facebook palsu.

Tetapi katanya, pihak polis yakin saspek akan dapat dikenalpasti melalui pelbagai kaedah pengesanan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pihak polis, tambah Lukas, menasihati orang ramai agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan apa-apa perkara yang berunsur jelik, fitnah, tidak benar atau tohmahan kepada seseorang.

“Ianya merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang terutamanya Seksyen 233 Akta Komunuikasi dan Multimedia 1998,” tegas Lukas. — DayakDaily