Rumah proses telur masin di Simunjan hangus dalam kebakaran

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran.

SIMUNJAN,10 Mei: Sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses telur masin di Kampung Segali di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 10.43 malam dan anggota dari Balai Bomba Simunjan terus ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat.

“Bomba memadam kebakaran tersebut menggunakan sumber air dari parit disebabkan tiada pili bomba di lokasi kejadian.

“Kebakaran telah menyebabkan rumah tersebut terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Tiada mangsa serta penghuni (rumah) dan maklumat terbaru adalah rumah tersebut merupakan tempat memproses telur masin dan bukannya rumah kediaman,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily