Menunggang kuda tarikan terbaru bagi pelawat ke Damai Craftworld & Event Centre

Rosedi (tengah) memantau kanak-kanak yang duduk diatas kuda bagi dibawa berjalan sekeliling padang.
Advertisement

SANTUBONG, April 8: Menunggang kuda dari Sabah bernama Sofia Jasmine dan Boboy kini menjadi tarikan terbaru bagi pengunjung Damai Craftworld & Event Centre (DCEC) yang bersebelahan Kampung Budaya Sarawak, di Damai, di sini.

Kuda-kuda tersebut boleh ditunggang pengunjung di DCEC yang sebelum ini dikenali sebagai Damai Central dengan bayaran hanya sebanyak RM10 mengelilingi padang dan RM5 sekiranya bergambar dengan kuda itu sahaja.

Pekerja yang menjaga kuda terbabit, Rosedi Seno, 40, berkata kebiasaannya pengunjung akan memilih menunggang kuda sekeliling padang selepas mereka puas bersiar-siar di kawasan pantai berhampiran.

Advertisement

“Ini terutamanya kalangan kanak-kanak dan juga belia tempatan dengan kami biasanya menerima ramai pelanggan setiap hari Sabtu dan Ahad,” katanya.

Pengunjung ke DCEC berseronok menunggang kuda keliling padang yang ada di DCEC.

Rosedi berkata mereka mampu mendapat pendapatan antara RM500 sehingga RM600 sehari pada hari Sabtu dan Ahad; bagaimanapun pelanggan akan jauh berkurangan pada hari biasa dan membolehkan kedua-dua kuda terbabit berehat.

“Bagaimanapun sekiranya ada acara besaran diadakan di Kampung Budaya Sarawak yang bersebelahan tempat menunggang kuda ini, maka pelanggan kami akan bertambah berlipat kali ganda pada Sabtu dan Ahad,”katanya.

Rosedi berkata kedua-dua kuda diperolehi dari Sabah itu telah dijaganya bersama dua pekerja lain di DCEC sejak tahun lepas dan mereka menawarkan perkhidmatan menunggang kuda setiap hari dari pagi sehingga petang. — DayakDaily

Advertisement