174 mangsa banjir di Sebuyau dapat bantuan RM500

Rohani (tengah) menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan banjir.

SEBUYAU, April 8: Seramai 174 keluarga mangsa bencana banjir di Sebuyau baru-baru ini menerima sumbangan wang ihsan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak hari ini.

Majlis penyerahan bantuan wang ihsan bencana banjir sebanyak RM500 bagi setiap keluarga itu diserahkan oleh Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dalam satu majlis ringkas di Dewan Kampung Segali di sini.

Penerima bantuan ini merupakan mangsa banjir yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan banjir iaitu di Kampung Seruyuk, Kampung Segali, Kampung Skitong Meranti dan Sebuyau.


Dalam ucapannya, Rohani menzahirkan rasa syukur kerana semua mangsa banjir yang terlibat dapat dipindahkan dan diselenggarakan dengan baik sekali oleh JKM.

“Dengan sumbangan wang ihsan ini, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban keluarga mangsa yang terlibat dan sedikit sebanyak dapat membantu membeli barangan kelengkapan rumah yang rosak akibat bencana banjir,” katanya di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 20 penerima di sini.

Beliau turut mengupas berkenaan kenaikan baucer BR1M sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Manifesto BN malam tadi.

“Saya menyeru supaya mereka yang berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 memohon BR1M untuk kategori baru ini dengan bantuan sebanyak RM700 dan berita gembira untuk bantuan sebanyak RM1,500 bagi anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di IPT.

“Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M sebelum ini masih boleh merayu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara atas talian dan manual,” tambah beliau.

Majlis turut dihadiri oleh Louis Andria Barieng, Wakil Residen Samarahan dan Ahmad Tarmidi Abdul Razak, Timbalan Pengarah JKM Sarawak. — DayakDaily