Program Pemimpin Bersama Rakyat platform penting dekati masyarakat akar umbi

Penguang (empat dari kiri) menyerahkan cek MRP kepada JKKK Rumah Louis.

MARUDI, April 8: Program Pemimpin Bersama Rakyat menjadi salah satu platform penting kepada jentera kerajaan bagi mendekati dan mendapat maklum balas masyarakat akar umbi.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, program itu penting kerana apabila dapat bersama masyarakat, wakil rakyat dan jentera kerajaan akan lebih mengetahui apa jua permasalahan mereka.

“Program Pemimpin Bersama Rakyat ialah untuk kita mendekati rakyat.


“Kita hendak mengetahui apakah aspirasi mereka dan apakah perkara yang mereka mahu kita beri perhatian,” katanya semasa Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Louis, Sungai Mallang, Bakong di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Penguang turut menyalurkan sumbangan MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Louis sebanyak RM25,000, manakala untuk Biro Wanita Rumah Louis sebanyak RM5,000.

Dalam pada itu, Penguang memberitahu, kerajaan Barisan Nasional (BN) terus komited untuk membawa pembangunan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Katanya, masyarakat di kawasan luar bandar tidak harus berasa terpinggir kerana kerajaan BN sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup mereka dari semasa ke semasa.

“Justeru, saya berharap sokongan yang diberikan selama ini akan diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sokongan berterusan ini penting bagi memastikan setiap rancangan pembangunan dapat terus dilaksanakan di Sarawak,” ujarnya. — DayakDaily