This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 20 Sept: Terdapat aduan bahawa segelintir pegawai kerajaan menyalahguna kuasa dengan menekan pelancong-pelancong di Pulau Langkawi.
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) Dato Sri Tiong King Sing berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pelancong berhubung perkara tersebut.
“Mereka mengadu bahawa segelintir pegawai-pegawai yang menyalahgunakan kuasa dengan menjadi ‘little Napoleon’ untuk menekan para pelancong.
“Ini termasuklah peraturan pakaian seperti berseluar pendek, ataupun menjadikan budaya meminum arak sebagai isu yang tidak sewajarnya,” katanya pada perbahasan di Parlimen semalam.
Tambah Tiong, keadaan ini telah menyebabkan pelancong-pelancong terutamanya pelancong asing bimbang dan khuatir untuk melawati Pulau Langkawi.
Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada kerajaan negeri agar bekerjasama rapat dengan MOTAC bagi menangani isu ini.
“Jangan sesekali meremehkan usaha MOTAC dalam usaha menarik minat pelancong ke sesuatu destinasi seperti Pulau Langkawi.
“Perlu diingat, apabila pelancong membuat aduan, MOTAC juga yang perlu menyelesaikannya.
“Justeru, janganlah selagi mempolitikkan sesuatu isu demi kepentingan peribadi, kita seharusnya bersama-sama untuk mempromosikan ya,” ujar Tiong. — DayakDaily