Mengulang mencuri, ditangkap lagi

Suspek (tengah) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Mac: Walaupun pernah ditahan kerana mencuri barangan makanan di sebuah kedai ‘mini market’ 24-jam Januari lalu, seorang wanita berusia 29 tahun tidak serik apabila sekali lagi ditahan kerana kesalahan sama.

Suspek ditahan sekitar jam 6.30 petang Isnin (1 Mac), di sebuah bilik sewa hotel murah di Jalan Lee Tak di sini oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).


Penahanan suspek dibuat susulan satu laporan polis pada petang Isnin selepas wanita terbabit melarikan sepasang selipar bernilai RM12 dari sebuah mini mart di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pada Januari lalu, suspek telah ditahan pihak polis selepas melarikan beberapa barangan makanan bernilai RM31.90 dari kedai yang sama. — DayakDaily