Oleh Brad Rantayy
MIRI, 22 Julai: Gara-gara enggan disuruh pergi menukar tong gas memasak yang telah habis, seorang lelaki bertindak menarik rambut dan menolak isterinya sehingga jatuh terbaring di atas lantai pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, suspek yang berusia 25 tahun itu juga mengugut mahu mencederakan wanita itu dengan sebilah parang.
“Malah, suspek juga mengambil senapang patah, namun isterinya sempat menghalang sebelum bertindak melarikan diri,” ujar Lim.
Semasa kejadian, sekitar jam 6.45 pagi Selasa (21 Julai) , di sebuah rumah ladang di Jalan Miri-Bintulu itu, mangsa (si isteri) seorang kerani, sedang mendukung anak mereka yang berusia satu bulan.
“Suspek tidak berpuas hati selepas isterinya mengejutkannya dari tidur dan menyuruhnya pergi ke kedai berhampiran kuarters ladang menukar gas memasak,” kata Lim.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat.
Kata Lim, bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri telah pergi ke lokasi kejadian.
“Mereka sampai ke lokasi sekitar jam 8.45 malam Selasa, susulan laporan polis dibuat oleh mangsa, namun, suspek tidak ada di rumah dan dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian,” jelasnya.
Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis menemui dan merampas satu laras senapang patah, satu barrel buatan sendiri (Bakakok); satu laras senapang guli buatan sendiri; satu butir kelongsong peluru kosong bertanda Sellier dan Belliot 12.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.—DayakDaily
Advertisement