Kementerian Kewangan meluluskan ‘online gambling’ adalah berita palsu

Surat palsu mendakwa Kementerian Kewangan Malaysia meluluskan permohonan syarikat mengendalikan aktiviti “Online Gambling” di Malaysia.

KUCHING, 22 Julai: Kementerian Kewangan Malaysia menafikan pernah mengeluarkan surat meluluskan permohonan mana-mana syarikat mengendalikan aktiviti ‘Online Gambling’ di Malaysia.

Ini berikutan tularnya surat palsu mendakwa kementerian itu ada meluluskan permohonan syarikat bagi mengendalikan aktiviti terbabit.

“Kementerian Kewangan Malaysia ingin menafikan pernah mengeluarkan surat sedemikian kepada mana-mana syarikat untuk mengendalikan aktiviti ‘Online Gambling’ di Malaysia,” menurut kenyataan kementerian itu di laman Facebooknya semalam.


Sehubungan itu, kementerian itu mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya didekati oleh syarikat yang mendakwa mereka mempunyai kelulusan untuk mengendalikan aktiviti tersebut.

Laporan polis akan dibuat oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk membolehkan siasatan dilakukan.—DayakDaily