Menara kawalan DCA beri kebenaran helikopter mendarat, isu selesai — Snowdan

Snowdan menjawab soalan pemberita di Kuching hari ini (Ogos 6, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 6: Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan mempertahankan tindakan beliau yang menghadiri satu majlis di Kuching pada pagi Ahad lepas dengan menaiki helikopter.

Menurut beliau, menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kuching telah memberi kebenaran untuk helikopter yang dinaiki beliau mendarat di padang SK Sacred Heard, Kampung Semeba.


Pada ketika itu (10 pagi), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir untuk melancarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon 2 di Dewan Masyarakat Kampung Semeba.

“Saya di dalam penerbangan balik dari Betong yang sejauh 250km setelah menghadiri acara rasmi di sana pada malam sebelumnya.

“Oleh kerana penerbangan saya melalui Dewan Kampung Semeba, saya bertanya kepada juruterbang samada beliau boleh menurunkan saya di padang SK Sacred Heart agar saya dapat menghadiri majlis tersebut.

“Juruterbang telah membuat komunikasi dengan menara kawalan dan kebenaran diberikan memandangkan sudah ada rekod helikopter mendarat di padang tersebut sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita selesai melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Snowdan (empat dari kanan) melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka di Wisma Bapa Malaysia hari ini (Ogos 6, 2019).

Semalam, ketua penerangan Belia Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAP) Abdul Aziz Isa menerusi kenyataan media yang disiarkan akhbar-ahbar tempatan menyelar tindakan Snowdan yang antara lain katanya telah merosakkan bumbung sekolah berkenaan.

Menyedari terdapat sedikit kerosakan pada bumbung rumah pengawal dan papan tanda akibat impak putaran angin helikopter, Snowdan pada awal pagi semalam telah melawat SK Sacred Heart untuk meninjau keadaan.

Beliau yang diiringi pegawai kementerian telah bertemu dan berbincang dengan para guru dan pegawai dari pejabat pendidikan Daerah Padawan termasuk ketua Kampung Semeba.

“Kita mengadakan perbincangan tentang bagaimana saya boleh membantu membaiki kerosakan, dan kita telah bersetuju bumbung rumah pengawal diganti dengan yang baharu dan begitu juga papan tanda,” katanya.

Di pertemuan itu juga Snowdan mengumumkan bantuan RM5,000 kepada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Sacred Heard, RM3,000 untuk menambah baik utiliti sukan sekolah dan RM2,000 untuk perpustakaan sekolah.

Katanya, bantuan tersebut amatlah wajar setelah meninjau keadaan sekolah dan Kampung Semeba bukanlah asing bagi beliau kerana ibu beliau berasal dari kampung tersebut.

Dengan penjelasan tersebut, Snowdan yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menganggap isu tersebut telah selesai. — DayakDaily