Menara dan perkhidmatan telekommunikasi SMART 300  di Luban Ulu tingkatkan liputan internet

Abang Johar i(duduk tengah) menunjukkan tanda bagus pada majlis tersebut. Turut kelihatan Zaidi (dua dari kiri) dan Uggah (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

BETONG, 26 Sept: Menara dan perkhidmatan telekomunikasi SMART 300 Luban Ulu di Spaoh menjadi infrastruktur digital pertama yang siap dibina oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha besar kerajaan negeri untuk menghubungkan dan merapatkan jurang digital di kawasan-kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan yang tidak diliputi dengan rangkaian jalur lebar.

“Dengan berdirinya menara telekomunikasi di sini pada hari ini, masyarakat tempatan khususnya di sekitar kawasan Luban Ulu dapat menikmati liputan rangkaian 3G dan 4G daripada pembekal perkhidmatan Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

“Dan masyarakat setempat seterusnya berpeluang memperoleh pengalaman internet berkelajuan dan berkapasiti tinggi berbanding rangkaian sebelum ini yang hanya meliputi rangkaian EDGE sahaja.

“Tambahan pula, menara ini mampu memberikan liputan rangkaian jalur lebar yang lebih jauh dimana ianya mampu mencecah sehingga 5 km radius,” kata Zaidi.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan bersempena pelancaran menara tersebut yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Zaidi lagi, dibawah inisiatif SMA 300, sebanyak 61 peratus (184 menara) telah siap dibina di mana ianya merangkumi seluruh bahagian di Sarawak, tidak terkecuali juga kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bagi kawasan Betong ujar beliau, SMA telah berjaya membina sebanyak 31 buah menara daripada 36 buah menara dan lima buah menara lagi sedang dalam pembinaan.

“Dalam hal ini, pihak SMA akan terus membina serta memperkasakan kolaborasi antara awam dan swasta iaitu Celcom, Digi, Maxis, dan U Mobile dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi kepada penduduk di Sarawak.

“Dengan adanya menara telekomunikasi ini, penduduk tempatan di Luban Ulu dapat memperluaskan perniagaan mereka secara atas talian.

“Bukan itu sahaja, urusan dan urusniaga lain seperti membayar bil dan membeli-belah juga dapat dilakukan di atas talian.

“Justeru itu, ianya juga mampu merangsang pertumbuhan aliran masuk pelaburan terutama sekali perniagaan digital,” ujar Zaidi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas.-DayakDaily