Melariskan jualan durian melalui penggunaan laman social

Zamberi Chupek menunjukkan akaun laman sosial Facebook nya untuk menjual bekalan buah durian yang terdapat di gerainya.

KOTA SAMARAHAN, Jan 14: Berikutan bekalan buah durian yang semakin banyak dari luar bandar dijual di kawasan bandar negeri ini pada kemuncak musimnya ketika ini dan tinjauan mendapati ada penjual buah itu mengunakan laman sosial seperti Facebook bagi bersaing mendapatkan lebih ramai pelanggan dan melariskan jualan buah tersebut.

Antaranya, Zamberi Chupek, 42, berasal dari Kampung Bintawa di bandar raya Kuching yang ketika ini mengunakan laman sosial Facebooknya bagi melariskan bekalan sebanyak 300 hingga 400 biji durian dijual gerainya di simpang jalan berhampiran pasaraya Sen Sen di Taman Desa Ilmu, di sini.

“Saya baru mula menjual durian mengunakan laman sosial Facebook pada musimnya tahun ini dan mendapati kaedah menjual buah tersebut secara atas talian memang berkesan dan secara purata dalam sejam seramai tiga orang rakan dalam akaun Facebook saya akan berkunjung ke gerai bagi membeli bekalan buah durian selepas saya mempamerkan gambar buah itu yang ada dijual dalam laman sosial itu,” katanya.


Pelanggan yang mendapatkan buah durian di gerai Zamberi Chupek, selepas melihat gambar buah tersebut dalam laman sosial.

Zamberi berkata melalui akaun Facebooknya, ramai kalangan pelanggannya boleh melihat gambar buah dan mendapatkan butiran mengenai harga, warna, saiz, dan keadaan isi buah bagi membuat tawar menawar dan tempahan sebelum mendapatkan buah ditempah digerainya serta kemudian pelanggannya juga boleh mempamerkan gambar isi buah durian yang dibeli mereka di laman sosial itu.

“Sebelum ini, saya perlu membuka gerai dari awal pagi sehingga lewat malam bagi menjual kesemua 300 hingga 400 biji durian, tetapi setelah mengunakan laman sosial, bekalan buah akan habis dijual lebih cepat kebiasaannya menjelang petang, walaupun hari sentiasa hujan,” katanya.

Zamberi berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan pengalaman menjalankan perniagaan mengunakan jaringan Internet ataupun pernah menghadiri sebarang kursus menjadi usahawan atas talian dan hanya belajar sendiri kaedah mempromosi dan menjual buah terbabit melalui laman sosial.

Bekalan buah durian yang semakin banyak boleh diperolehi Zamberi Chupek, 42, dari Kampung Bugu Mawang di Serian bagi dijual di gerainya.

Beliau berkata bekalan buah durian dijual gerainya juga berkualiti kerana diperolehi dari penduduk Kampung Bugu Mawang di Serian yang mengutip buah terbabit di kawasan bergunung sekitar kampung itu pada waktu malan sebelum dijual secara borong kepadanya seawal jam 3 pagi dan kemudian dijual gerainya di Kota Samarahan pada harga terendah RM10 bagi tiga biji dan tertinggi dari RM10 atau RM15 sebiji.

Katanya bekalan buah durian yang semakin banyak boleh diperolehi dari kampung terbabit ketika ini bagi dijual di gerainya termasuk kepada pelanggan melalui laman sosial. Ini telah membolehkan beliau memperolehi pendapatan sehingga RM500 sehari dari perniagaan terbabit. — DayakDaily