Oleh Dean Adam
SIBU, April 20: Seorang mekanik yang tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang yang ditawarkan menerusi laman Facebook (FB) terpaksa berputih mata apabila dia kerugian RM32,350.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah melayari FB pada 16 Mac lepas sebelum ternampak tawaran pinjaman wang dari sebuah syarikat.
Katanya, lelaki berusia 36 tahun itu kemudian berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp dan memberitahu dia berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM40,000.
“Suspek kemudian mengatakan pinjaman wang yang dibuat oleh mangsa boleh diluluskan dengan syarat mangsa membuat beberapa pembayaran terlebih dahulu.
“Mangsa seterusnya melakukan 11 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank yang berlainan.
“Bayaran tersebut dikatakan sebagai yuran pendaftaran, deposit pinjaman, bayaran peguam dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal memberitahu, sumber kewangan mangsa adalah hasil pinjaman daripada rakan-rakannya.
Katanya, mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas wang pinjaman yang dibuat tidak diperolehi.
“Malah, suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran tambahan untuk mendapatkan wang pinjaman tersebut. Kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” ujar Mustafa Kamal. — DayakDaily