Medac komited teruskan agenda keusahawanan negara – Wan Junaidi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Medac) komited untuk meneruskan agenda keusahawanan negara dan memastikan peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2021 dapat dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata belanjawan tersebut memberi penekanan yang signifikan kepada usaha membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan golongan B40.

Katanya, ia bagi memastikan pemulihan dan kelestarian operasi perniagaan serta kelangsungan perniagaan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.


“Medac melalui agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan agenda pembangunan usahawan mikro dan PKS Bumiputera. Sejumlah RM4.6 bilion disediakan bagi pemerkasaan usahawan bumiputera merangkumi RM510 juta bagi tujuan pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Manakala RM800 juta pula diperuntukkan melalui  program peningkatan keupayaan oleh SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia.

“Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion disediakan melalui Tekun Nasional, PUNB, AgroBank, BSN dan institusi kewangan lain termasuk tambahan sebanyak RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya menerusi satu kenyataan selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM20 juta dalam belanjawan tersebut diberikan khusus untuk untuk program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat lndia (SPUMI) dan RM5 juta untuk pembangunan usahawan bagi komuniti lain jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan terbabit.

Ujar beliau, golongan usahawan wanita juga tidak dipinggrkan dalam belanjawan itu apabila peruntukkan  berjumlah RM95 juta turut disediakan melalui TEKUN Nasional, MARA dan AgroBank untuk agenda pemerkasaan usahawan wanita.

“Selain itu, seramai 2,000 usahawan wanita bakal mendapat manfaat melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe.

“Turut mendapat manfaat adalah operator fasiliti sukan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta di bawah skim Tekun Sukan yang pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan Negara,” katanya.

Menurut Wan Junaidi, kerajaan juga menyediakan kemudahan pembiayaan dengan dana berjumlah RM300 juta dan RM500 juta Skim Pembangunan Nasional bagi memberikan anjakkan serta meningkatkan penglibatan usahawan terbabit dalam sektor utama ekonomi negara.

Tambah beliau, bagi menggalakkan aktiviti automasi dan modenisasi, dana tambahan berjumlah RM150 juta turut disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi.

“Selain itu, sejumlah RM25 juta disediakan bagi program Pembangunan Francais Mikro, Francais Mampu Milik dan program Beli Barangan Buatan Malaysia. Manakala RM150 juta pula diperuntukan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro,” katanya. — DayakDaily