MEDAC dan Jakim jalin kerjasama tingkatkan ekonomi Koperasi Kariah Masjid

Wan Junaidi (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Zulkifli selesai perbincangan di Putrajaya hari ini (27 Julai, 2020).

KUCHING, 27 Julai: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan aktiviti ekonomi ummah melalui usahawan dan koperasi.

Menteri MADEC Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan Koperasi Kariah Masjid dengan keanggotaan minima seramai 50 orang dan keahlian yang terbuka kepada masyarakat setempat merupakan satu inisiatif untuk membangunkan ekonomi kariah masjid.

ā€œIa dibangunkan melalui aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada ahli kariah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Terdahulu, Wan Junaidi telah menghadiri mesyuarat bersama Jakim yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Putrajaya.

Menurut Wan Junaidi, usaha ini diambil susulan titah Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong semasa beliau mengadap Baginda pada 9 Julai, 2020.

ā€œBaginda menitahkan agar koperasi masjid dan surau ditambah lagi agar ekonomi dan kesejahteraan ummah dapat dipertingkatkan,” ujar beliau.

Tambah Wan Junaidi, berdasarkan rekod pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mendapati sehingga Disember 2019, terdapat 446 buah Koperasi Kariah Masjid yang didaftarkan dengan keahlian 30,515 anggota koperasi.

Daripada jumlah ini katanya, didapati 300 buah koperasi adalah aktif, 69 koperasi tidak aktif manakala 77 koperasi dorman.

ā€œMenurut rekod pada 2019, Koperasi Kariah Masjid telah mencatatkan pendapatan berjumlah hanya RM15.37 juta walaupun mempunyai jumlah keanggotaan yang tinggi iaitu seramai 30,515 orang.

ā€œIni menunjukkan gerakan koperasi kariah masjid mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Wan Junaidi mahukan koperasi kariah masjid yang tidak aktif dan dorman dibantu untuk dipulihkan dan diperkenalkan kepada aktiviti perniagaan yang berpotensi bagi memacu keyakinan kariah di samping menyumbang kepada pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata MEDAC juga mencadangkan empat jalinan kerjasama yang boleh diterokai merangkumi usaha memperluaskan penubuhan koperasi masjid ke seluruh negara, menambah nilai komersil ke atas produk usahawan dan koperasi melalui pensijilan halal.

ā€œMemajukan tanah-tanah waqaf di seluruh negara untuk kemaslahatan ummah dan menambah nilai Program Usahawan Asnaf,” katanya.-DayakDaily