Covid-19: 1,295 kes baharu dan 7 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,295 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,285 kes tempatan dan 10 kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 87,913 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,751 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 481 kes, diikuti Sabah dengan 268 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 232 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,052 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 72,733 kes atau 82.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 429 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tujuh kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan empat kes warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

“Lima kes kematian dilaporkan di Sabah manakala masing-masing satu kes dilaporkan di Kelantan dan Perak. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kluster baharu dilaporkan hari ini, iaitu Kluster Puncak Galaksi di Selangor, Kluster Bukit Punai di Sabah, Kluster Tapak Bina Permai, Tapak Bina Matahari dan Tapak Bina Laut di Kuala Lumpur, Kluster Cahaya Mahsuri di Johor, Kluster Seri Tasik di Perak dan Kluster Inten di Pahang. — DayakDaily