Tindakan pantas bomba berjaya kawal api dari memusnahkan dua kediaman

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 23: Tindakan pantas pasukan bomba melakukan operasi memadam kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah rumah musnah terbakar dalam satu kejadian di Taman Nanas, Jalan Green di sini tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu hanya mengakibatkan bahagian dapur sebuah rumah terbakar kira-kira 20 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian sama turut mengakibatkan sebuah rumah sebelah terjejas kira-kira 10 peratus.

Katanya, sejurus itu sepasukan 10 anggota bomba dari BBP Batu Lintang bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah kediaman struktur kekal dua tingkat.

“Api turut merebak ke bahagian dapur rumah sebelah melalui siling. Namun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi memadam tamat sepenuhnya pada pukul 1.19 pagi.

Katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Punca kejadian masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily