Oleh Brad Rantayy
MIRI, 8 Ogos: Mayat seorang pekerja kapal ditemui petang Jumaat, terbaring di dalam kediamannya di kuarters pekerja di Kuala Baram.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, penemuan dibuat oleh rakan mangsa sekitar jam 4 petang selepas mangsa berkenaan, seorang warganegara Myanmar berusia 65 tahun, gagal membuka pintu bilik selepas diketuk beberapa kali.
“Sebelum kejadian, mangsa ada pergi ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan,” ujar Lim.
Berdasarkan siasatan lanjut, mangsa berhasrat balik ke negara asalnya pada Jumaat, namun tidak kesampaian.
“Tiada unsur-unsur jenayah ditemui di kediaman mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelas Lim.
Mayat mangsa telah dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.
Dipercayai mangsa diserang strok sebelum maut di dalam biliknya.-DayakDaily