Brad Rantayy
MIRI, 21 Okt: Seorang pemandu pelancong tergamam apabila menemukan satu mayat lelaki terbaring kaku di kaki lima bangunan lama pejabat Residen Miri di Jalan Raja petang tadi (Rabu).
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, dalam kejadian pukul 3.12 petang itu, mangsa dipercayai gelandangan berusia 62 tahun ditemukan saksi yang sedang berjalan meninjau di kawasan sekitar bangunan tersebut.
Saksi ketika itu sedang berjalan bersama isterinya melihat kawasan bangunan tersebut untuk dipromosikan dalam pakej perlancongan.
“Sampai di suatu sudut kaki lima bangunan, saya terlihat mangsa terbaring tapi tidak bergerak, berasa curiga, saya cuba mendekati mangsa, dan ketika itu saya sedar dia sudah tidak bernyawa,” ujar saksi tersebut ketika ditemui di lokasi.
Pihak polis dan ambulans segera dihubungi ke lokasi.
Menurut ACP Lim, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kematian lelaki berkenaan sebagai mati mengejut.—DayakDaily