Mayat lelaki disyaki diserang buaya di Lawas ditemui tidak sempurna

Mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat.

LAWAS, 10 Okt: Lelaki warga Indonesia yang hilang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Merapok, Ladang Sawit Kuala Lawas pada Ahad (9 Okt) lepas ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa dikenali sebagai Juma Misi berusia 30 tahun ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 1.17 petang tadi.

Katanya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna.


“Pada jam 1.17 petang tadi, jasad mangsa serangan buaya telah ditemukan dalam keadaan tidak sempurna tiga kilometer dari lokasi mangsa diserang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk proses selanjutnya,” katanya.

Operasi SAR mangsa tamat sepenuhnya pada jam 1.30 petang.

Mangsa dilaporkan disambar buaya ketika sedang memancing ikan pada jam 8.57 pagi Ahad (9 Okt).

Operasi SAR oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bersama polis penduduk kampung dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima. — DayakDaily