Mayat ditemui terapung di sungai di Jalan Tabuan Jaya disahkan warga emas yang dilaporkan hilang

Anggota Bomba dan polis membawa mayat mangsa.

KUCHING, 5 Jun: Mayat seorang lelaki warga emas dijumpai terapung di Sungai Tabuan Jaya berdekatan Lorong Bayor Bukit, di sini hari ini.

Difahamkan mayat tersebut dijumpai oleh dua lelaki yang sedang bekerja membersihkan sungai tersebut dan kemudian terus melaporkan kepada polis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan memohon khidmat mengangkat mayat tersebut pada jam 12.14 tengah hari.


Untuk tugas tersebut, lima anggota dari Balai Bomba Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan Kamri Bujang.

Mayat mangsa berjaya diangkat ke tebing sungai dan kemudian dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan mayat tersebut adalah lelaki yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak semalam.

“Mayat telah disahkan oleh pihak keluarga dan kita membantu mempercepatkan urusan berkaitan tuntutan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak petang Jumaat. — DayakDaily