Mawan: Servis Bank dan ATM di luar bandar, MKN dan BNM cari mekanisma


KUCHING, Apr 18: Kerajaan memang berhasrat mewujudkan servis mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan bank di Pakan.

ADUN Pakan Tan Sri William Mawan berkata, permohonan untuk mendapatkan servis tersebut pernah diajukan ke parlimen sebelum ini.

Namun katanya, dalam menentukan keperluan servis ATM dan bank di sesebuah kawasan adalah dibawah kuasa Bank Negara Malaysia(BNM).


“Memang niat Kerajaan Sarawak untuk menyediakan servis tersebut diwujudkan bukan sahaja di Pakan, tetapi di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.

“Sebelum ini, mantan MP Julau Datuk Joseph Salang Gandum dan saya sendiri sewaktu menjadi MP Saratok pernah mengusulkan permohonan di parlimen agar servis ATM dan bank diwujudkan di Pakan,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mawan, Kerajaan Sarawak memahami keperluan penduduk di Pakan apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, rakyat sememangnya memerlukan wang khususnya melakukan pengeluaran wang bantuan baik dari kerajaan pusat atau kerajaan Sarawak.

Untuk rekod ujar Mawan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah pada 16 April lepas telah menyatakan terdapat kerjasama diantara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan BNM.

Menurut Mawan, kerjasama itu adalah bagi mengenalpasti agen perbankan yang mempunyai dana yang cukup untuk memastikan perkhidmatan perbankan itu berjalan lancar terutama sekali semasa PKP ini.

“Kenyataan Datuk Amar Douglas juga disokong oleh MP Julau Larry Sng yang turut memuji inisiatif yang telah diusahakan oleh MKN dan BNM.

“Sehingga kini, saya sendiri dari masa ke semasa membuat pertanyaan susulan ke atas perkara ini diatas kapasiti saya sebagai seorang ADUN,” kata Mawan.

Beliau berharap kerajaan pusat dan Bank Negara Malaysia dapat mempertimbangkan inisiatif ini dengan secepat mungkin. Marilah kita bersama memberi sokongan kepada usaha MKN dan Bank Negara bagi mencari mekanisma yang sesuai bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya dil uar bandar sepanjang PKP ini, ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Mawan menghargai keperihatinan dan saranan Gerempung Raban Pakan (GRP) agar diwujudkan servis ATM dan bank di Pakan. —DayakDaily.