Mawan: GPS bawa pembangunan berterusan di Pakan

Mawan meraikan Program Merdeka@Komuniti 2020 bersama penduduk Rh Janang, Sungai Wong di Pakan.
Advertisement

KUCHING, 9 SEPT: Hampir 100 peratus masyarakat di Pakan telah menerima bekalan elektrik sementara 60 peratus lagi menerima bekalan air, kata ADUN Pakan Tan Sri William Mawan.

Menurut beliau, program pembangunan infrastruktur itu akan diperluaskan lagi dari masa ke masa.

“Banyak perancangan dan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS)termasuk di kawasan Pakan.

Advertisement

“Bukan sahaja kemudahan berlandaskan bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya malahan kerajaan negeri telah mencadangkan pelan induk pembangunan menyeluruh bagi kawasan Pakan.

“Ini sekaligus meningkatkan sosio ekonomi penduduk Pakan,”katanya ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti 2020 sempena sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Pakan di Rumah Janang, Sungai Wong, Pakan pada Selasa.

Bagi projek jalan raya kata Mawan, antara yang paling ketara adalah projek jalan ke Hulu Julau yang merangkumi tiga fasa.

Katanya, fasa pertama menelan kos RM61 juta diikuti fasa kedua (RM122 juta) dan fasa ketiga (RM139 juta).

Sementara itu mengenai program yang dianjurkan, Mawan berharap semua masyarakat bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang dicapai oleh negara ini.

Katanya, ia amat penting untuk dihayati agar dapat menghargai sumbangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu.-DayakDaily

Advertisement