Suspek pecah rumah kantoi semasa menggeledah bilik jiran

Suspek (berbaju putih) berjaya ditangkap.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 9 Sept: Hasrat seorang suspek pecah rumah melarikan barangan berharga selepas menceroboh masuk ke sebuah unit bilik sewa bangunan runah kedai di kawasan Centre Point awal pagi ini hancur berkecai, apabila ditangkap pihak polis.

Menurut sumber, suspek yang berusia 40 tahun itu, sedang mengemas beberapa barangan milik mangsa di dalam bilik tersebut, sebelum kantoi.


Ketika kejadian, mangsa seorang wanita, berusia sekitar 30-an, berada di dalam bilik mandi.

Penemuan suspek di dalam bilik itu berlaku sebaik sahaja mangsa keluar dari bilik mandi.

Terkejut, tatkala melihat suspek di dalam biliknya, mangsa segera menjerit meminta tolong.

Jeritannya berjaya menarik perhatian orang awam berdekatan yang kemudian menghubungi polis.

Tindakan pantas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) sampai ke lokasi sekitar jam 8 pagi itu telah mengagalkan tindakan suspek untuk meloloskan diri.

Dipercayai suspek yang juga tinggal dua blok dari unit bilik mangsa telah memanjat bumbung bangunan tersebut sebelum masuk.

Suspek kini sedang ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Pusat Miri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. — DayakDaily