Mawan: Anggap diri petugas barisan hadapan

Mawan (tiga dari kanan) bersama peserta Program Sepakat@Komuniti di Rh Anggat, Sg Baru Sebangkoi di Sarikei.
Advertisement

KUCHING, 18 Okt: Semua anggota masyarakat perlu bertindak dan menganggap diri sebagai petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi Covid-19, kata ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom.

Menurutnya, rakyat harus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan perlu sentiasa berwaspada untuk mengelak wujudnya kluster baharu yang boleh menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19.

“Elak kawasan sesak, elak kawasan sempit dan elak bersembang dalam jarak dekat.

Advertisement

“Selain itu, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, wajib memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan sentiasa mengikuti peringatan dan nasihat Kementerian Kesihatan,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Program Sepakat@Komuniti di Rh Anggat, Sg Baru Sebangkoi di Sarikei pada Jumaat lepas.

Justeru, Mawan menyeru agar ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat, ketua-ketua kaum, ketua agama, NGO dan setiap lapisan masyarakat agar memainkan peranan masing-masing.

Katanya, tugas mengingatkan komuniti dan masyarakat termasuk ahli keluarga agar mematuhi semua SOP adalah tanggungjawab bersama.

Di samping itu, setiap lapisan masyarakat katanya harus mematuhi norma baharu.

“Kementerian Kesihatan menyarankan agar orang ramai mengamalkan Cegah, Amal, Patuh dan Pantau.

“Kita perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini,”ujar Mawan.

Program anjuran Jabatan Penerangan Sarikei itu turut dihadiri Pegawai Penerangan Sarikei Joseph James, Pemanca Edward Ladin dan Penghulu Kasa.-DayakDaily

Advertisement