MAVCOM pantau harga tiket penerbangan domestik

Malaysian Aviation Commission (Mavcom)

KUCHING, 5 April: Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sentiasa memantau harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak khususnya bagi tempoh musim perayaan.

Katanya, penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan negara adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006.


“Dalam hubungan ini, pihak syarikat penerbangan ada melaksanakan inisiatif khas bagi menawarkan tiket penerbangan pada harga yang rendah.

“Sebagai contoh, AirAsia telah menyediakan 62 penerbangan tambahan (tambahan 11,400 tempat duduk) pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke tujuh destinasi, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah, serta Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak, dari 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Manakala Malaysia Airlines Berhad pula menawarkan program khas untuk pelajar iaitu MHexplorer di mana para pelajar yang berdaftar dengan program tersebut layak menikmati diskaun sehingga 30 peratus daripada harga tiket penerbangan, di samping manfaat lain seperti elaun bagasi tambahan sebanyak 10 Kilogram dan tawaran khas untuk ahli keluarga serta rakan-rakan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Anthony menambah, berkenaan dengan penetapan harga siling, pihak kerajaan melalui MAVCOM pernah membuat kajian mengenai penetapan harga siling bagi mengawal harga tiket penerbangan pada Ogos 2018.

“Kajian tersebut menunjukkan bahawa mekanisme harga siling akan memberi kesan yang negatif kepada pengguna dalam jangka panjang,” ujarnya. — DayakDaily