Gempar mayat tanpa identiti ditemui dalam parit

Anggota bomba membantu pihak polis mengangkat mayat yang ditemui di dalam parit.

BINTULU, Jun 16: Para pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Bintulu-Miri di sini gempar dengan penemuan mayat tanpa identiti di kawasan parit di laluan berkenaan hari ini.

Pasukan bomba kemudian dihubungi pihak polis untuk melakukan khidmat khas mengangkat mayat tersebut.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan untuk mendapatkan khidmat khas berkenaan pada pukul 5.32 petang.


Katanya, sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja mengangkat mayat mangsa.

“Setelah kerja-kerja mengangkat mayat selesai, mayat yang tanpa indentiti itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi khas itu telah tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 petang selepas mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan mayat tanpa identiti tersebut.

Katanya, buat masa ini pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat itu supaya membuat laporan untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. ā€” DayakDaily