Maszlee: PPD pantau keadaan jerebu dan patuhi SOP

Maszlee bercakap kepada pemberita.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Sept: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan pegawai pelajaran daerah (PPD) di seluruh bahagian di Sarawak memantau keadaan jerebu.

Katanya, jika keadaan jerebu semakin teruk, prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi dan sekolah-sekolah yang terjejas harus ditutup.

“Apa yang penting, kita hendak memastikan kebajikan pelajar dan guru sekolah tidak diabaikan, apabila sampai tahap bacaan tertentu mereka akan mengarahkan sekolah ditutup,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke SMK Sungai Tapang di Kota Sentosa, di sini, hari ini.

Maszlee ditanya berhubung bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan berbahaya 365, jam 8 pagi tadi di Sri Aman.


Sejumlah 298 sekolah dengan 97 daripadanya di Sri Aman ditutup hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Pendidikan negeri hari ini, penutupan berkenaan merangkumi 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah.

Sekolah ditutup membabitkan 85 di Kuching, Betong (51), Padawan (46), Bau (44), Sri Aman (41), Lundu (22), Lubok Antu (5) dan Samarahan (3).

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas berbahaya. — DayakDaily