Masyarakat Tamin diingat jangan silap undi

Gira hadir bertemu rakyat pada Program Ziarah. Foto: UKAS

KUCHING, 29 Nov: Masyarakat di kawasan Sungai Buloh, Sepiring dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin diingat agar tidak silap undi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) pada 18 Disember depan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), penyandang kerusi DUN Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan yang baik dalam mentadbir Sarawak.
Beliau dalam pada itu yakin dapat memenangi semula kerusi DUN Tamin pada PRN12 berdasarkan kepada sambutan masyarakat terhadap setiap program ziarah yang dianjurkan dari rumah ke rumah.
Pada Program Ziarah Ahad lepas, Gira menjelaskan bahawa kawasan Lemai telah mendapat pembangunan infrastruktur seperti jalanraya yang baik.
“Manakala kesemua rumah panjang juga sudah mendapat bekalan elektrik 24 jam,” kata Gira.
Sementara itu, semasa mengadakan di Rumah John di Sungai Buloh pada sebelah petang, Gira berkata pihaknya sedang mencari tapak untuk pembinaan hospital di Selangau.
“Permohonan untuk pembinaan hospital itu telah diajukan oleh Ketua Masyarakat Selangau kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang semasa lawatannnya di Selangau baru-baru ini,” ujar beliau.
Selain itu tambahnya, proses pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau juga dalam proses pembayaran pampasan tanah oleh Jabatan Tanah dan Ukur. — DayakDaily