Masyarakat Iuar bandar paling terkesan oleh kes positif Covid-19 di Bintulu

Dato Sri Tiong King Sing
Advertisement

KUCHING, 19 Julai: Masyarakat luar bandar adalah segmen masyarakat yang paling terkesan oleh kes positif Covid-19 di Bahagian Bintulu, kata MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing.

Berdasarkan statistik katanya, 90 peratus kes positif yang dicatatkan di bahagian tersebut adalah melibatkan golongan tersebut.

“Justeru, saya menggesa semua rakan dalam komuniti untuk mempertingkatkan inisiatif kendiri dalam pencegahan wabak dan meminimumkan pergerakan.

Advertisement

“Bagi mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan bandar, janganlah pulang ke rumah panjang dahulu. Ini bagi mengurangkan pergerakan yang membawa kepada penularan wabak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Tiong, seluruh masyarakat perlu sentiasa proaktif dan berwaspada dalam usaha pencegahan penularan wabak.

Ujar beliau, setiap lapisan masyarakat harus berhati-hati kerana Covid-19 bukanlah seperti demam atau selsema biasa, tetapi virus yang boleh menyebabkan maut.

Walaupun jumlah kes positif di Bintulu dalam satu digit atau dua digit dalam beberapa hari lalu, Tiong berpendapat masih sukar untuk mencapai matlamat sifar kes.

Melalui lawatan ke beberapa premis makanan baru-baru ini katanya, didapati beberapa premis mengambil mudah berhubung penularan virus dan tidak mempraktikkan prosedur operasi standard(SOP) yang ketat.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana telah menetapkan bahawa pengendali dan pekerja premis mesti telah divaksin dan pemilik harus menanggung kos pembasmian kuman susulan serta ujian saringan jika ada yang didiagnosis.

“Saya memahami beban ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini, oleh itu saya tidak mahu melihat sesiapa terpaksa menanggung kos tersebut.

“Sila bertanggungjawab dan mempraktikkan SOP (prosedur operasi ‘standard’) yang ketat semasa pengendalian bisnes. Sikap leka akan mengakibatkan pandemik kembali memburuk,” kata Tiong. — DayakDaily

Advertisement