‘Masyarakat luar bandar dan bandar kini tahu pemimpin yang boleh diharapkan’

Dr Nadrawina Isnin

KUCHING, Mei 12: Masyarakat atau pengundi di kawasan bandar dan luar bandar kini sudah peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sarawak Kampus Samarahan II, Dr Nadrawina Isnin berkata, kepekaan golongan terbabit telah menjadi suara mereka dalam menentukan keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Masyarakat kini sudah tahu menilai pemimpin yang dapat mereka harapkan dan sebaliknya. Mereka sudah tahu menilai pemimpin yang boleh mereka membawa suara mereka di Parlimen.

“Sehubungan itu, pengundi di kawasan luar bandar khasnya tidak boleh lagi dipandang mudah,” katanya.

Nadrawina menambah, faktor media sosial juga memainkan peranan kerana memberikan ruang kepada sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat.

Katanya, dalam konteks hari ini, kategori pengundi bandar dan luar bandar menjadi indikator penting dalam menentukan kejayaan pilihan raya umum lalu.

“Ramai beranggapan bahawa pengundi bandar telah memainkan peranan yang signifikan dalam pilihan raya lalu sehingga membawa kepada anjakan trend pengundian yang dinamakan ‘politik baru’.

“Pengundi bandar dan luar bandar kini kebanyakannya merupakan pengundi celik huruf, mempunyai maklumat sampingan menerusi media alternatif dan peka dengan peredaran semasa,” ujarnya lagi. -DayakDaily

ends