Masyarakat Belaga mohon Kerajaan naiktaraf Jalan Jiwa Murni

Liwan (duduk tengah) bersama ketua-ketua masyarakat Belaga yang mengadakan kunjungan ke Komplek DUS. Turut kelihatan Ajang (duduk dua dari kiri) dan Justin (berdiri kanan).
Advertisement

KUCHING, 12 Nov: Masyarakat Belaga mahu jalan yang dibina menerusi Projek Jiwa Murni di kawasan tersebut dinaiktaraf secepat mungkin.

Menurut Temenggong Ajang Sirek, ia selari dengan usaha kerajaan negeri mengutamakan pembangunan kawasan luar bandar dalam Bajet 2025.

“Projek paling penting kepada kami di Belaga ialah jalan raya. Kerana jalan yang dibina menerusi Projek Jiwa Murni tidak selamat.

Advertisement

“Harapan seluruh masyarakat Belaga ialah kerajaan menaiktaraf jalan ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Komplek Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Dalam pada itu, Ajang juga mahukan setiap projek yang telah dilulus agar dilaksanakan dengan baik dan segera tanpa sebarang kelewatan.

Menurut beliau, ia termasuk pembinaan Kompleks Sukan Belaga yang dinanti oleh para belia di kawasan tersebut.

Ajang pada hari ini bersama lebih 50 ketua-ketua masyarakat dari Belaga melawat dan melihat sendiri bagaimana Persidangan DUS berlangsung.

Kumpulan yang diketuai Timbalan Menteri Utiliti Dan Komunikasi merangkap Adun Belaga Datuk Liwan Lagang turut mengadakan kunjungan kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

Sementara itu Justin Aseh dari sub etnik Punan memohon kerajaan mewujudkan industri di Belaga.

Katanya, ia penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan di Belaga selain mengurangkan penghijrahan belia ke kawasan bandar.

“Menyuarakan aspirasi para belia, harapan kita ialah agar kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia luar bandar.

“Binalah sesuatu, contohnya kilang dan aktiviti berkaitan pertanian, agar belia tidak berhijrah,” katanya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025 semalam memperuntukan RM6.8 billion kepada program pembangunan luar bandar.

Jumlah tersebut bersamaan 62 peratus daripada peruntukan keseluruhan perbelanjaan pembangunan RM10.9 bilion. — DayakDaily

Advertisement