Masukkan Serian Rafting Challenge di dalam kalendar pelancongan negeri — Riot

Ratu Bilanting 2019, Nerissa Geoffrey (duduk) bersama pemenang-pemenang yang lain.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 14 Sept: Serian Rafting Challenge, yang memaparkan keindahan semulajadi di kawasan Serian, seharusnya dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri.

Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot berkata Bahagian Serian memiliki potensi besar di dalam ekopelancongan.

“Pemilihan Sungai Batang Sadong yang mengalir dari Kampung Tema Mawang, Tebedu, sehingga Kampong Tebekang Dayak sejauh 25 kilometer, pastinya menjanjikan keindahan flora dan fauna di sepanjang sungai.

“Saya yakin dengan mengetengahkan tenpat-tempat menarik di kawasan Serian kepada masyarakat luar, cita-cita untuk menjadikan Serian sebagai destinasi ekopelancongan tidak mustahil.


“Dengan sungai yang masih jernih yang dikelilingi keindahan flora dan fauna ini, saya harap acara ini dimasukan dalam kalender pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui di Pertandingan Ratu Belanting bersempena Serian Rafting Challenge 2019 di Kampung Tebakang Dayak, di sini, malam tadi.

Mincha memakaikan Mahkota Ratu Belanting 2019 kepada Nerissa Geoffrey. Turut kelihatan Riot (empat kiri).

Tambah Riot, di samping memiliki sungai-sungai yang jernih, Serian juga memiliki beberapa lokasi pelancongan menarik seperti Taman Tasik Danu, Pusat Rekreasi Ranchan, Gua Silabur dan Gua Sireh.

“Acara tahunan yang telah masuk edisi ke-9 ini juga memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan untuk menjana pendapatan dan mempamerkan produk tempatan bermutu tinggi,” ujar beliau.

Serian Rafting Challenge 2019 disertai 68 buah pasukan untuk perlumbaan berakit yang terdiri daripad pasukan dari Serian dan luar Bahagian Serian.

Pertandingan Ratu Belanting pula menerima 20 penyertaan dari sekitar Bahagian Serian.

Turut hadir isteri Riot, Datin Mincha Kayen dan Setiausaha Majlis Daerah Serian Constantine Noeb. — DayakDaily