Masing sangkal dakwaan warganegara asing terima vaksin di Kapit

Masing(berdiri dua dari kiri) menunjukan bukti penerima vaksin berdaftar dan warganegara di PPV Dewan Sekolah Nanga Oyan.

KUCHING, 22 Jun: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing menyangkal dakwaan terdapat warganegara asing menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kapit.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS), Masing menyifatkan kenyataan NGO tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai fitnah dan tuduhan liar.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kapit, tiada warganegara asing yang mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat ini,” katanya ketika meninjau PPV Dewan Sekolah Nanga Oyan pada Isnin.


Tambah Masing, senarai penerima juga adalah berdasarkan senarai nama yang telah diperakui oleh tuai rumah dan telah berdaftar dengan pihak Pejabat Daerah.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan proses dan pencapaian di PPV tersebut dan berharap bahawa sasaran kerajaan negeri akan tercapai dalam sedikit masa lagi dengan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Beliau turut menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada PPV Dewan Sekolah Nanga Oyan yang menerima senarai 280 orang penerima berdaftar dan proses pemberian vaksin berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan. — DayakDaily