80 peratus penduduk Marudi dapat suntikan vaksin menjelang Ogos 2021

Penguang(dua dari kiri) berbual dengan penerima vaksin di PPV Dewan Suarah Marudi pada Isnin.

KUCHING, 22 Jun: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil yakin sasaran 80 peratus penduduk di DUN Marudi mendapat suntikan vaksin dapat dicapai menjelang Ogos 2021.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Penguang yang juga Adun Marudi berkata penggunaan sistem hibrid dan aplikasi MySejahtera membantu usaha tersebut.

“Apa yang kita mahu ialah supaya semua penduduk mendapatkan vaksin mereka supaya sasaran 80 peratus penduduk sudah divaksin dan akan dapat dicapai menjelang Ogos 2021.

“Ianya dapat dicapai di mana kita menggunakan sistem hibrid iaitu menggunakan senarai yang terdapat di aplikasi Mysejahtera dan juga senarai nama yang diberikan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Tuai Rumah.

“Setiap penerima akan dipanggil mengikut kampung-kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat mengenai proses vaksinasi Covid-19 di PPV Dewan Suarah Marudi pada Isnin.

Dalam pada itu, Penguang berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di tiga buah PPV di kawasan DUN Marudi berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Katanya, jumlah penduduk yang menerima suntikan vaksin di ketiga-tiga PPV iaitu di Beluru, Long Lama dan Marudi meningkat berbanding jumlah mereka yang mendaftar.

“Di Marudi misalnya, apa yang telah dimaklumkan kepada saya sehingga hari ini seramai 8,458 penduduk telah mendapatkan suntikan dos pertama mereka berbanding hanya 7,000 lebih sahaja yang mendaftar.

“Manakala, bagi Daerah Beluru sebanyak 4,000 lebih sudah mendapatkan dos pertama mereka dengan menggunakan kaedah hibrid dan aplikasi Mysejahtera,” kata Penguang.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada dua buah persatuan di Daerah Marudi iaitu Kelab Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Marudi sebanyak RM5,000 dan Tadika Yuk Ing Marudi sebanyak RM10,000. — DayakDaily