Oleh Chris Bishop
KUCHING, MAC 11: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing meramal Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) akan diadakan pada tahun ini.
Menurut beliau, kebiasaan mandat untuk memilih kerajaan akan diserahkankan semula kepada rakyat pada tahun keempat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ramalan saya ialah pilihanraya negeri akan diadakan pada tahun ini.
“Sekarang adalah tahun keempat, kebiasaanya kita mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya.
“Jarang sekali ia diadakan pada tahun kelima,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Terdahulu Masing menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran MRP Fasa 1 DUN Baleh di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur.
Namun, beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak(PRS) enggan mengesahkan PRN12 diadakan pada tahun ini.
“Ia adakah ramalan saya sahaja, saya tak boleh beri pengesahan sebab saya bukan ketua menteri,”katanya.
Tambah beliau lagi, pergolakan yang berlaku di dalam Pakatan Harapan(PH) pada masa kini bukanlah penyebab PRN12 diadakan tahun ini.
Katanya, memang diakui PH bergolak sekarang tetapi kebiasaannya mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih pada tahun keempat.
“Sekarang mereka(PH) belum dapat bersatu dan ia adalah masa yang sesuai.
“Jika mereka bersatu, kita akan menghadapi tentangan yang sengit,” ujar Masing. —DayakDaily