Masih awal hakimi pencapaian kerajaan perpaduan — TPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 5 Feb: Masih awal bagi mana-mana pihak untuk menghakimi pencapaian kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau menjawab kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kerajaan perpaduan gagal membawa sebarang perubahan besar kepada rakyat.

“Tetapi apa pun telah banyak program yang dilaksanakan dalam waktu singkat oleh kerajaan perpaduan.

Advertisement

“Saya menghormati dia (Dr Mahathir) sebagai seorang yang telah banyak menyumbang kepada negara kita.

“Saya mengharapkan Tun Dr Mahathir akan terus membantu dalam membangunkan negara kita dengan memberi pandangan konstruktif dan bukan berbentuk negatif,” katanya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Tambah Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi, Sarawak khususnya telah mendapat kenaikan dari segi peruntukan khas Perkara 12D dan diberi wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Katanya, Sabah pun sudah mendapat beberapa perkara yang dipersetujui oleh kerajaan.

“Bajet baru-baru ini juga menekankan bajet yang mengembang, maksudnya kita fokus kepada projek-projek yang telah diluluskan dirancangkan khususnya Lebuhraya Pan Borneo, Sabah-Sarawak Link Road dan pembangunan sempadan,” kata Fadillah. — DayakDaily

Advertisement