Masalah sekolah daif di Lubok Antu perlu diselesaikan dengan segera, tegas Ahli Parlimen Lubok Antu

Jugah Muyang

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 25: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) menyelesaikan masalah sekolah daif di kawasan Lubok Antu dengan segera.

Menurut beliau, Lubok Antu antara kawasan yang mempunyai banyak sekolah daif dan usang, dan wajar diberi perhatian segera oleh kerajaan untuk dinaik taraf.


“Keadaan kebanyakkan sekolah rendah amat menyedihkan dan sukar untuk digambarkan; atap kelas bocor, dinding reput yang menunggu masa untuk runtuh.

“Sekolah-sekolah tersebut masih lagi menggunakan ‘generator’ sebagai sumber bekalan elektrik utama,” tegas Jugah di sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Antara yang memerlukan tindakan drastik tambah beliau adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, SK Nanga Kesit, SK Nanga Menjuau dan SK Nanga Tibu, SK Uyau, SK Basi dan SK Entalau.

Sedih melihat keadaan sekolah yang sangat daif wujud di pinggir bandar, Jugah mahu masalah ini diselesaikan segera.

Keadaan sekolah daif ini, kata beliau, sama seperti 40 tahun dahulu tanpa ada perubahan.

“Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu komited memastikan masalah sekolah daif di kawasan Lubok Antu diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkelili juga amat daif dan usang dengan infrastrukturnya jauh ketinggalan berbanding sekolah menengah lain,” tambah Jugah.

Keadaan sekolah tersebut disaksikan sendiri pegawai KPM, yang membuat lawatan pada Februari 20 yang lepas susulan daripada aduannya mengenai kedaifan dan keusangan SMK Engkilili.

Keperluan 1 blok 13 unit kelas amat terdesak memandangkan sekarang mereka ditempatkan dibawah kuarters guru.

Satu unit blok pentadbiran guru perlu ditambah dengan segera.

Sehubungan dengan itu, Jugah menggesa KPM menaik taraf SMK Engkilili dengan segera.

“Walaupun keadaan dan prasarana di SMK Engkelili jauh ketinggalan tetapi gurunya tetap bersemangat untuk mengajar dan pelajar juga menunjukkan semangat ingin belajar yang tinggi.

“Saya yakin jika kerajaan menyediakan kemudahan yang lebih baik, mereka (guru dan pelajar) pasti dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah ini,” kata beliau.

Jugah percaya prasarana pendidikan amat penting dan sewajarnya diberi perhatian penuh oleh kerajaan dan hanya melalui pendidikan yang dapat mengatasi kemiskinan khususnya di luar bandar Sarawak.

Menjelaskan hutang kerajaan Negeri Sarawak kepada kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM1 biliun, sebagai timbal balik untuk melunaskan hutang Sarawak, kata beliau, kerajaan persekutuan telah bersetuju memberikan peruntukkan RM1 biliun bagi membangunkan sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“Pada masa yang sama, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan kepada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi menaiktaraf 33 buah sekolah daif di Sarawak,” kata beliau.

Disamping itu, Jugah mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk mengurus dan menyelia dana peruntukkan sekolah daif perlu melibatkan wakil rakyat setempat supaya program terlibat urus berjalan mengikut masa yang ditetapkan.

Jugah menggesa agar KPM mengutamakan sekolah daif di kawasan Lubok Antu yang kritikal perlu dibaikpulih dengan segera.

“Amat wajar bagi pihak kerajaan menyediakan fasiliti, infrastruktur yang baik dan guru-guru berkualiti bagi memastikan mereka (pelajar) juga mampu mendapat pendidikan yang cemerlang, bukan sekadar akademik tetapi juga dalam pencapaian lain,” tambah beliau. — DayakDaily